Saturday 1 October 2011

Pengaruh Muzik kepada Minda Kanak-Kanak

         MUZIK sentiasa menjadi sebahagian penting dalam sistem pembelajaran kanak-kanak. Misalnya, seorang ibu akan mendendangkan irama lagu semasa mendodoikan anaknya untuk tidur, menyanyikan nada irama kanak-kanak apabila menyampaikan cerita fiksyen atau sejarah, serta aktiviti nyanyi-bersama yang dipelajari kanak-kanak semasa di rumah atau di prasekolah.
Semua rangsangan stimulasi ini memberikan perkembangan yang sihat kepada bayi dan kanak-kanak.
Kajian terbaru membuktikan bahawa muzik boleh memantapkan perkembangan bahasa, hubungan bunyi-perkataan, keupayaan matematik kanak-kanak dan sesetengahnya meningkatkan keupayaan intelektual kanak-kanak.



Kepelbagaian muzik
Kebanyakan pakar kanak-kanak akan bersetuju bahawa kesesuaian muzik untuk bayi dan kanak-kanak adalah tidak terhad, asalkan muzik tersebut tidak terlalu kuat atau menyakiti telinga bayi.Melalui Sukatan Pelajaran PendidikanMuzik Sekolah Rendah telah menyediakan lagu-lagu yang sesuai dengan minda dan persekitaran kanak-kanak.

Perasaan
Ibu bapa juga boleh mengetahui perasaan bayi anda dengan mengaitkan muzik atau bunyi yang menghasilkan reaksi tertentu. Misalnya, apabila bayi atau anak anda tidak gembira, ibu biasanya akan mendakap anak mereka, mendendang atau mendodoikan anak dengan irama muzik.
Tidak kisahlah jika anda boleh menyanyi dengan sedap atau tidak, nada yang tenang atau melodi yang mendamaikan di sebalik suara ibu membantu menenangkan emosi bayi. Ringkasnya, bunyi yang tenang mempunyai kesan menenangkan terhadap bayi.
Dalam usia enam tahun pertama mereka, kanak-kanak boleh berlagu mengikut irama apabila mereka cuba membezakan deria dan bunyi dari irama muzik serta memperoleh penyampaian visual bunyi tersebut.
Proses mendapatkan maksud dari bunyi merupakan kunci utama untuk permulaan kanak-kanak dalam perkembangan bahasa.
Semasa usia bertatih, anak boleh menentukan penekanan terhadap bunyi seperti Tidak dan Berhenti, diikuti oleh bunyi geram, nada tinggi atau lain-lain konotasi agresif.
Ini juga boleh digunakan untuk perkataan positif seperti, Baik, Bagus atau Hebat. Kanak-kanak berupaya untuk mentafsirkan maksud melalui nada perkataan; umumnya jika apa-apa perkataan yang diucapkan tidak mempunyai ritma yang betul, tidak ada seorang pun yang boleh memahaminya.



Otak kiri
Pada bahagian kiri otak, terdapat Kawasan Broca yang juga dikenali sebagai Memori Tugasan Verbal. Bahagian otak ini mengendalikan semua simpanan dan pemprosesan informasi verbal, serta peranan penting pemprosesan bahasa. Semasa usia awal perkembangan kanak-kanak, mendengar adalah lebih baik dari membaca, sering dianggap sebagai bentuk pembelajaran yang efektif.
Memandangkan bahasa ucapan biasanya sementara, apa-apa bunyi yang tertinggal di belakang disalurkan dengan cepat dan disimpan dalam otak untuk rujukan dan perkaitan di masa depan. Oleh itu, pemahaman mendengar mengesyorkan bahawa lebih banyak pemprosesan semantik dalam Kawasan Broca.

Muzik juga memiliki keupayaan memulih ke atas kanak-kanak. Mengikut hasil kajian yang dijalankan oleh Stanford University telah mendedahkan bahawa muzik meningkatkan pembacaan untuk kanak-kanak dileksia.
Seperti yang dinyatakan dari awal, pengalaman muzikal boleh meningkatkan keupayaan otak untuk mengenalpasti dengan cepat perubahan bunyi dan nada.
John Gabrielli, bekas Profesor Psikologi Stanford menekankannya dengan berkata: “Apa yang ditunjukkan oleh kajian ini, yang penting, terdapat aspek tertentu bahasa…Yang berubah dalam minda dan otak manusia dengan latihan muzikal.”
Kajian dijalankan turut mencadangkan bahawa memainkan alat muzik mempunyai faedah kognitif, walaupun tahap ukurannya belum ditentukan.
Di dalam artikel “Adakah muzik menjadikan kita lebih pintar? (“Does music make us smarter?”) oleh BabyClassroom.com mengaitkan muzik dengan perkembangan awal otak.
Mereka memetik kajian oleh Dr. Frances Rauscher dan Dr. Gordon Shaw yang menunjukkan bahawa kanak-kanak prasekolah yang mengambil pelajaran muzik menampilkan keupayaan pemikiran spatial dan temporal (yang merupakan asas penting untuk matematik dan sains) dan prestasi yang lebih baik dalam menjalankan tugas dibandingkan rakan mereka yang tidak mengambil pelajaran muzik, termasuk mereka yang mengambil pelajaran komputer dalam tempoh yang sama.

Selain daripada itu, muzik juga telah dikaitkan dengan peningkatan celik huruf. Malah, muzik sememangnya menjadi komponen penting dalam perkembangan bahasa kerana ia merupakan cara yang baik untuk melibatkan kanak-kanak dalam menerokai bunyi dan perkataan, manakala irama pula alat yang berguna untuk meningkatkan memori. Contoh terbaik adalah lagu huruf ABCDE adalah permulaan kanak-kanak mengenal huruf. Dengan pendedahan muzik dan latihan muzikal, anak anda berupaya untuk memahami maklumat baru dengan lebih baik dan cepat, kerana muzik meningkatkan keupayaan mental.

Satu lagi faktor positif muzik adalah ia merangsang keyakinan dan harga diri anak anda. Ya, muzik boleh memberikan faktor penting untuk perkembangan dan pembesaran kanak-kanak. Bagaimanapun, ibu bapa dinasihatkan tidak menggunakan pelajaran muzik yang boleh memberi tekanan kepada anak-anak sehingga melampaui keupayaan mereka kerana ini boleh memberikan akibat negatif.
Keseronokan adalah kunci kepada apa jua proses pembelajaran dan ibubapa perlu sentiasa bersama anak dan berinteraksi dengan mereka untuk memperoleh sepenuhnya kreativiti anak mereka, meningkatkan kemahiran motor atau mengatasi halangan kognitis anak mereka.
Menyanyi, bermain dan menarilah bersama anak anda, kerana tiada pembelajaran yang lengkap tanpa ibu bapa.


No comments:

Post a Comment